Thursday, October 25, 2007

Maksud Bandar..

Bandar adalah satu ciptaan yang menunjukkan pengaruh manusia ke atas alam semulajadi. Ia merupakan tempat di mana manusia telah banyak mengubah sumber-sumber tanah, air, organisma dan udara. Bandar adalah ruang dimana manusia memulakan dan mengawal perubahan dalam habitatnya. Melalui pembandaran manusia telah membentuk satu ekosistem baru di mana interaksi antara manusia, pekerjaannya dan alam semulajadi adalah kompleks.

Maksud Pembandaran Dan Proses Pembandaran

Proses pembandaran merupakan satu subjek rumit yang saling diperbincangkan dan banyak melibatkan isu-isu pembangunan. Ia dianggap sebagai satu proses pelbagai dimensi melibatkan bukan sahaja aspek demografi, eleman fizikal dan ruang, tetapi meliputi aspek sosioekonomi, sosiobudaya dan pentadbiran.
Pembandaran juga lazimnya ditakrifkan sebagai satu proses perubahan, sama ada penduduk, petempatan, cara hidup, kegiatan ekonomi, pemikiran manusia dan lain-lain ke arah bandar. Selain itu pembandaran juga ada kalanya ditakrifkan sebagai satu proses perubahan masyarakat daripada bercorak desa yang biasanya tidak formal ke corak bandar yang lazimnya lebih formal.

Ciri-Ciri Banjir...

Ciri-ciri banjir seperti frekunsi dan magnitud berubah mengikut ruang dan masa. Sementara banjir di pantai timur yang kebanyakkan dihasilkan oleh pengaruh angin monsun lazimnya lebih besar magnitudnya, lebih panjang tempoh kejadiannya dan lebih serius kesannya, banjir di pantai barat yang kebanyakkan jenis banjir kilat lebih singkat tempoh kejadiannya tetapi lebih kerap akibat dihasilkan oleh ribut perolakkan sepanjang tahun. Ujian Chi-square menhasilkan nilai .0000 yang menunjukkan wujudnya perbezaan signifikan dalam frekuensi banjir yang dialami oleh isi-isi rumah di pantai timur dan pantai barat.
Kajian ini menunjukkan bahawa frekuensi banjir lebih tinggi di dataran banjir bandar daripada dataran banjir desa. Hal ini jelas sekali sebab kajian-kajian hidrologi telah membuktikan bahawa pekali air larian permukaan di bandar jauh lebih tinggi daripada yang terdapat di desa. Dari segi jenis banjir, wujudnya perbezaan signifikan dalam frekuensi banjir antara rumah yang dipengaruhi oleh banjir sungai, banjir pasang surut dan bamjir sungai campur pasang surut. Rumah-rumah yang dilanda banjir pasang surut mempunyai frekuensi banjir paling tinggi, iaitu sekurang-kurangnya dua kali sebulan pada tempoh ulang 14 hari. Sebaliknya, rumah di bahagian tengah sungai dilanda banjir sungai dalam kadar kurang daripada sekali dalam tiga tahun. Rumah-rumah yang terletak di hilir sungai dipengaruhi oleh banjir sungai campur pasang surut.

Penemuan Kajian...

Hasil daripada maklum balas yang diterima daripada responden melalui borang soal selidik yang diedarkan kepada 30 orang, kesemuanya bersetuju dengan tindakan tindakan kerajaan negeri mendalamkan Sungai Johor untuk mengatasi masalah banjir. Hal ini kerana kedalaman sungai dapat menjamin pengaliran air yang baik terutamanya apabila hujan lebat. Aliran air yang baik ini penting untuk mengelakkan limpahan air atau banjir ke kawasan sekitar. Menurut data sekunder yang kami perolehi daripada penolong pegawai Daerah Kota Tinggi, Tuan Haji Zainuddin, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk kerja-kerja mendalamkan Sungai Johor sepanjang 16km.

Secara keseluruhannya, majoriti responden yang kami temui berpendapat bahawa proses pemulihan banjir di bandar Kota Tinggi sangat memuaskan dan progresif. Hail ini dapat dibuktikan kerana kesemua kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan untuk orang ramai telah diselenggara dengan sempurna. Malahan kami sendiri berpendapat seolah-olah Bandar Kota Tinggi tidak pernah dilanda banjir. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas terutamanya dalam aspek pentadbiran dan ekonomi. Terdapat banyak projek-projek yang telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh karajaan negeri negeri untuk membangunkan lagi bandar Kota Tinggi. Antaranya ialah menaik taraf jalan, system perparitan, gerai-gerai, dewan, dataran Kota dan pasar. Melihat kepada aspek ekonomi pula, premis perniagaan seperti kedai, gerai dan pasaraya menjalankan operasi mereka seperti sedia kala. Malah terdapat juga sebuah pasaraya baru yang dibina di bandar ini iaitu pasaraya “Family Mart”.

Selain daripada pendapat dan pandangan, kami juga telah meminta cadangan-cadangan daripada pengunjung bandar Kota Tinggi tentang bagaimana untuk meningkatkan lagi imej bandar ini. Antara cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh responden ialah memperbesar dan melebarkan jalan raya untuk melancarkan lagi perjalanan. Mereka juga meminta agar memperbanyakkan lagi tempat-tempat letak kereta untuk kemudahan pengunjung-pengunjung bukan sahaja yang datang dari luar Kota Tinggi tetapi juga pengunjung dari bandar ini senndiri. Selain itu, majlis perbandaran perlu menambah lagi kemudahan-kemudahan seperti hotel dan menaiktaraf hotel-hotel yang sedia ada. Dengan adanya hotel-hotel yang bertaraf antarabangsa pengunjung dari luar negara akan tertarik untuk datang ke Kota Tinggi. Tempat-tempat pelancongan yang ada juga hendaklah dipromosikan lagi dengan lebih luas agar orang ramai tahu tentang keistimewaannya. Malah pengunjung juga mahu Bandar Kota Tinggi dimajukan lagi dengan membangunkan semula Bandar Kota Tinggi lama dan baik pulih kedai-kedai yang sedia ada untuk merancakkan lagi proses pembangunan ekonomi di Daerah Kota Tinggi pada masa akan datang.

Analisis Data Hasil Kajian...

Isu yang dipilih oleh kumpulan kami bagi kajian lapangan ini ialah adakah imej Kota Tinggi musnah selepas banjir dan untuk menjawab persoalan ini kami mejadikan persepsi pengunjung sebagai ukuran sama ada banjir yang berlaku telah menjejaskan imej bandar. Kajian ini telah dijalankan di sekitar bandar Kota Tinggi. Seramai 30 orang responden telah disoal selidik yang terdiri daripada 15 orang lelaki dan 15 orang wanita. Majoriti responden adalah beragama Islam dan berbangsa Melayu iaitu sebanyak 93.3 %, manalala selebihnya adalah beragama Hindu dan berbangsa India iaitu 6.7%. Dapatan kajian menunjukkan imej Kota Tinggi tidak musnah walaupun fenomena banjir yang berlaku disifatkan sebagai yang terburuk di negeri Johor. Malahan masalah-masalah yang timbul disebabkan banjir seperti longkang tersumbat, jalan raya yang rosak dan sistem komunikasi telah pulih dan diselenggarakan sepenuhnya dengan baik. Kami telah mengkategorikan pembangunan kepada lima bahagian iaitu jaringan komunikasi, premis perniagaan, infrastruktur sosial, perkhidmatan dan pusat pelancongan untuk melihat proses pembangunannya selepas banjir.

Kategori yang pertama ialah jaringan komunikasi yang terdiri daripada jalan raya, lebuh raya, telefon dan pengangkutan awam seperti teksi dan bas. Hasil daripada kajian yang telah dilakukan, kami dapati bahawa seramai lapan orang (26.7%) mengatakan proses pemulihan bagi jalan raya sangat memuaskan. Manakala, selebihnya mengatakan memuaskan iaitu seramai 22 orang (73.3%). Bagi lebuh raya, 12 orang (40%) mengatakan sangat memuaskan dan 18 orang (60%) mengatakan memuaskan dengan jaringan lebuh raya yang ada. Telefon pula seramai empat orang (13.3%) berpendapat sangat memuaskan, 17 orang (56.7%) memuaskan dan Sembilan orang (30%) tidak pasti. Pengangkutan seperti teksi dan bas awam memperolehi peratusan sebanyak 20% (6 orang) yang mengatakan sangat memuaskan dan 80% (24 orang) mengatakan memuaskan.

Kategori yang kedua ialah premis perniagaan yang terdiri daripada kedai, gerai, plaza dan lain-lain. Bagi kedai seramai 15 orang responden (50%) mengatakan kedai yang ada di bandar ini sangat memuaskan manakala 15 orang lagi (50%) mengatakan memuaskan. Premis perniagaan seperti gerai pula mencatatkan seramai 17 responden (56.7%) sangat memuaskan manakala 13 responden lagi (43.3%) memuaskan. Seramai 13 orang (43.3%) berpendapat sangat memuaskan dan 17 orang lagi (56.7%) memuaskan untuk plaza. Lain-lain mencatatkan 14 orang (46.7%) mengatakan sangat memuaskan dan selebihnya 16 orang (53.3%) mengatakan memuaskan.

Bagi kategori yang ketiga pula ialah infrastruktur sosial iaitu tandas awam, telefon awam, stesen bas, taman permainan, tempat-tempat ibadat dan dewan orang ramai. Tandas awam sebanyak 15 orang responden (50%) berpendapat kemudahan yang ditawarkan sangat memuaskan, manakala 10 orang (33.3%) memuaskan dan selebihnya lima orang (16.7%) berpendapat tidak pasti. Telefon awam kami memperolehi seramai lima orang (16.7%) mengatakan sangat memuaskan, 15 orang (50%) memuaskan dan 10 orang (33.3%) tidak pasti. Infrastruktur sosial seperti taman permainan mencatatkan 17 orang responden (56.7%) mengatakan taman-taman permainan yang ada di bandar ini sangat memuaskan, lapan orang (26.7%) mangatakan memuaskan dan lima orang (16.7%) tidak pasti. Seramai 20 orang (66.7%) berpendapat tempat-tempat ibadat yang terdapat di Kota Tinggi sangat memuaskan dan selebihnya, 10 orang ( 33.3%) berpendapat memuaskan. Dewan orang ramai mencatatkan seorang sahaja responden (3.3%) mengatakan sangat memuaskan, lima orang (16.7%) memuaskan dan 24 orang responden (80%) mengatakan tidak pasti.

Kategori keempat ialah perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan di bandar Kota Tinggi seperti bank, badan-badan kerajaan, sekolah/asrama, pusat pengajian/tuisyen, klinik swasta dan hospital. Bagi bank kami memperolehi seramai 15 orang responden (50%) berpendapat perkhidmatan bank sangat memuaskan, manakala yang selebihnya seramai 15 orang juga (50%) berpendapat memuaskan. Perkhidmatan badan-badan kerajaan, sebanyak 20 orang (66.7%) mengatakan sangat memuaskan dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan 10 orang (33.3%) pula mengatakan hanya memuaskan. Sekolah/asrama mencatatkan seramai 28 orang responden (93.3%) bersetuju sangat memuaskan dan hanya dua orang (6.7%) mengatakan memuaskan. Pusat pengajian/tuisyen pula sebanyak 50% (15 orang) berpendapat perkhidmatan yang ada sangat memuaskan, 16.7% (5 orang) memuaskan dan 10 orang (33.3%) tidak pasti. Klinik swasta dan hospital pula masing-masing mencatatkan seramai 20 orang (66.7%) sangat memuaskan dan 10 orang (33.3%) memuaskan untuk klinik swasta, manakala hospital, 15 orang responden (50%) mengatakan sangat memuaskan dan selebihnya juga 15 orang (50%) memuaskan.

Kategori terakhir iaitu yang kelima ialah pusat pelancongan yang terdiri daripada hotel dan pusat beli-belah. Bagi kategori ini kami memperolehi respon yang kurang memberangsangkan daripada pengunjung di mana majoriti daripada mereka mengatakan hotel-hotel yang ada tidak menepati citarasa mereka. Seramai 15 orang responden (50%) mengatakan tidak pasti, 10 orang (33.3%) tidak memuaskan dan lima orang (16.7%) sangat tidak memuaskan untuk hotel. Bagi pusat beli-belah pula sebanyak 50% (15 oramg) berpendapat pusat beli-belah yang ada di bandar Kota Tinggi sangat memuaskan dan 15 orang lagi (50%) mengatakan memuaskan.
1. Jaringan Komunikasi

Laporan Kajian Lapangan...

Hari pertama kajian lapangan...1 september 2007
Pada hari pertama di kawasan kerja lapangan iaitu di Bandar Kota Tinggi, tidak ada aktiviti khusus yang dilakukan. Setiap kumpulan diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti masing-masing. Hal ini supaya setiap kumpulan dapat membuat tinjauan secara rawak keadaan persekitaran kajian kes dan berbincang sesama ahli kumpulan tentang strategi untuk mendapatkan responden bagi menjawab borang soal selidik. Bagi kumpulan saya, kami menggunakan waktu malam itu sebaik mungkin untuk meninjau kehadiran pengunjung tempatan mahupun luar pada waktu malam dan suasana malam di bandar. Ini penting bagi tujuan kajian kami kerana melalui tinjauan ini kami dapat lihat sejauhmanakah bandar ini pulih sepenuhnya selepas banjir melalui kehadiran pengunjung ke bandar dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan.

Hari kedua kajian lapangan...2 september 2007
Kami memulakan kajian lapangan seawal 10 pagi. Setiap kumpulan dipecahkan mengikut destinasi kajian kes masing-masing. Kumpulan saya melakukan survei di bandar iaitu untuk melihat persepsi pengunjung terhadap pemulihan dan pembangunan bandar selepas banjir. Setiap seorang daripada kumpulan saya perlu mencari sekurang-kurangnya lapan orang responden. Kami menetapkan jumlah ini supaya memudahkan kami untuk melakukan analisis data daripada borang soal selidik yang dilakukan. Pada hari itu kawasan yang menjadi tumpuan kami untuk mengedarkan borang soal selidik ialah di Plaza Kota dan sekitar Dataran Tun Seri Lanang. Disebabkan hari itu merupakan hari minggu, jadi mudah bagi kami untuk mendapatkan kerjasama daripada responden yang terdiri daripada pengunjung bandar yang kebanyakkannya datang bersama keluarga untuk membeli belah dan tidak kurang yang datang untuk bersiar-siar.

Hari ketiga kajian lapangan...3 september 2007
Hari terakhir kerja lapangan digunakan oleh setiap kumpulan untuk melengkapkan kajian dan bagi kumpulan yang memerlukan maklumat tambahan atau data sekunder dari jabatan-jabatan kerajaan menggunakan peluang itu untuk bertemu dengan pihak yang terlibat bagi memperolehi maklumat yang berkaitan. Kumpulan saya telah pergi ke Majlis Daerah Kota Tinggi sebagai tempat untuk memperolehi maklumat tambahan berkaitan dengan tajuk kajian kes kami. Di sana, kami mendapat kerjasama yang baik dari pihak majlis iaitu En. Kasban dan En. Taufiq Hidayat terutamanya berkaitan dengan projek-projek yang telah dan bakal dijalankan untuk membangunkan semula bandar selepas banjir serta untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke Bandar Kota Tinggi.

Persedian sebelum melakukan kerja lapangan...

Seminggu sebelum menjalankan kerja lapangan di Kota Tinggi, setiap kumpulan perlu menyiapkan kertas kerja iaitu meliputi tajuk kajian kes, persoalan kajian, objektif, methodologi kajian dan soalan-soalan soal selidik atau temubual yang ingin diajukan kepada responden. Tujuan penyediaan kertas kerja ini adalah untuk memastikan setiap kumpulan telah bersedia dengan skop kajian masing-masing. Hal ini penting supaya ketika melakukan kajian lapangan setiap kumpulan telah mempunyai sasaran responden mengikut kajian kes yang dilakukan. Tajuk kajian kes kumpulan saya ialah persepsi pengunjung bandar Kota Tinggi terhadap kesan banjir ke atas pembangunan bandar. Persoalan kepada kajian kami ialah untuk melihat sama ada imej Kota Tinggi musnah selepas banjir. Jadi untuk menjawab kepada persoalan ini, kami menggunakan pengunjung bandar sebagai subjek utama untuk mengetahui sejauhmanakah banjir telah menjejaskan imej Kota Tinggi. Jadi, untuk menyiapkan kertas kerja ini kumpulan saya telah mengadakan dua kali perjumpaan untuk menetapkan tajuk kajian dan menyediakan soalan soal selidik. Kerjasama yang telah diberikan oleh setiap ahli kumpulan telah memudahkan kami menyiapkan kertas kerja ini seperti yang ditetapkan oleh pensyarah.

Sunday, September 16, 2007

Kajian Awal di Kota Tinggi...

Satu kajian awal di Kota Tinggi, Johor telah diadakan pada 2 hingga 3 Ogos 2007, iaitu untuk membuat tinjauan awal keadaan kawasan kajian kes yang akan diadakan pada 31 Ogos 2007. Kajian awal ini telah disertai oleh 36 orang pelajar iaitu 16 orang pelajar dari kursus Urbanisasi dan Pembangunan Bandar manakala 20 orang pelajar lagi terdiri daripada pelajar yang mengikuti kursus Demografi dan Pembangunan. Kajian awal ini hanya disertai oleh ketua-ketua kumpulan dan selaku wakil kumpulan, saya merupakan salah seorang daripada pelajar yang mengikuti tinjauan awal ini. Tujuan tinjauan awal ini adalah untuk memberi gambaran awal keadaan persekitaran kawasan kajian kes iaitu di bandar Kota Tinggi, Kampung Kelantan dan Kampung Tembiuh. Selain itu ia juga adalah untuk membantu pelajar-pelajar mencari dan mengenalpasti isu-isu yang berkaitan dengan impak banjir dan kaitannya dengan pembangunan bandar yang boleh dijadikan sebagai bahan kajian kes. Hal ini penting kerana dengan adanya isu yang ditimbulkan ini, setiap kumpulan mempunyai fokusnya yang tersendiri tentang apa yang hendak dikaji dan bagaimana hendak dikaitkan dengan pembangunan bandar itu sendiri.

Tinjauan ke Kampung Kelantan...
Di sini kami dibebaskan untuk meninjau keadaan persekitaran kampung dan menemubual penduduk di situ untuk mendengar sendiri pengalaman mereka ketika berhadapan dengan banjir dan luahan hati mereka berkaitan dengan isu-isu yang berbangkit selepas banjir. Kesempatan yang diberikan telah saya gunakan untuk menemubual beberapa orang responden yang majoritinya terdiri daripada warga emas kerana golongan muda ramai yang keluar bekerja. Masing-masng telahmemberikan kerjasama yang baik sepanjang temubual berlangsung. Hasil daripada temubual-temubual tersebut, suara majoritinya menyatakan banjir kali ini adalah yang paling dasyat dan ia juga telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada setiap penduduk bukan sahaja kepada kerosakan harta benda malah emosi mereka sendiri. Hal ini turut di akui oleh salah seorang responden yang telah di temubual iaitu Hamidah Sagap yang berusia 75 tahun. Dia menyatakan sepanjang usianya banjir kali ini merupakan yang paling teruk pernah dialaminya kerana segala harta benda musnah, rumah rosak dan tidak ada barang yang sempat diselamatkan kerana paras air naik begitu cepat sehingga menenggelamkan rumah. Dari segi bantuan pula, rata-rata penduduk berpuas hati dengan bantuan yang diberi. Dengan adanya bantuan ini, mereka dapat meneruskan kelansungan hidup selepas banjir, buat sementara waktu sebelum dapat menjana semula pendapatan sendiri.selain daripada itu, berdasarkan pemerhatian saya terhadap keadaan persekitaran kampung, masih terdapat beberapa buah rumah yang masih belum dibaik pulih sepenuhnya, terdapat kawasan-kawasan terbiar yang dipenuhi dengan semak samun dan kerosakkan jalan raya yang masih belum di turap. Keadaan ini memberi gambaran bahawa proses pemulihan selepas banjir di Kampung Kelantan masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Tinjauan ke Kampung Tembiuh...
Tinjauan ini turut disertai oleh Wan Ismail Wan Ngah atau dikenali sebagai Tok Wan iaitu Penghulu Mukim Kota Tinggi dan En. Latif iaitu Ketua Kampung Kelantan. Berbeza dengan tinjauan yang dilakukan di Kampung kelantan, di sini kami hanya diberi penerangan ringkas oleh Tok Wan tentang latar belakang Kampung Tembiuh dan kemusnahan yang berlaku akibat daripada banjir. Pelajar-pelajar hanya di bawa melihat keadaan persekitaran kampung secara luaran sahaja dan tiada temubual yang dilakukan antara pelajar dan penduduk kampung. Kampung Tembiuh ini merupakan kawasan petempatan yang majoritinya didiami oleh kaum Melayu dan Cina. Pekerjaan dan sumber pendapatan utama penduduknya ialah bekerja sebagai buruh. Banjir pada Disember 2006 dan Januari 2007 tempoh hari telah menyebabkan sepuluh hingga sebelas buah rumah ranap dan segala harta benda musnah. Keadaan ini menyebabkan kerugian purata yang dialami oleh sebuah keluarga ialah 10 ribu. Secara keseluruhannya, apa yang dapat dilihat masih terdapat kemudahan-kemudahan infrastruktur yang masih belum dibaik pulih sepenuhnya.

Kunjungan ke Pejabat Derah Kota Tinggi...
Kunjungan kami ke pejabat Derah Kota Tinggi turut dihadiri oleh jawatankuasa-jawatankuasa Kg. Kelantan, Kg. Tembiuh, Taman Kemang dan Wan Ismail Wan Ngah (Tok Wan) iaitu Penghulu Mukim Kota Tinggi. Tujuan kunjungn ini adalah untuk memperolehi maklumat yang berkaitan dengan banjir dengan lebih terperinci. Sesi interaksi dan soal jawab telah diadakan antara pelajar-pelajar, jawatankuasa-jawatankuasa kampung dan Tok Wan selaku wakil bagi pejabat daerah. Antara isu-isu yang telah dibangkitkan ialah perancangan majlis daerah untuk mengatasi masalah banjir dan persediaan menghadapi banjir. Antaranya ialah rancangan hendak pindahkan Kg. Kelantan dan Kg. Tembiuh ke kawasan yang lebih tinggi, tetapi berdasarkan maklum balas dari penduduk kampung, majoritinya tidak bersetuju dengan cadangan ini. Hal ini kerana, walaupun dipindahkan banjir akan tetap berlaku dan mungkin masalah lain pula yang akan timbul seperti sumber pendapatan penduduk akan terjejas. Selain itu isu bantuan banjir juga telah dibangkitkan dan jawapan yang diterima menyatakan bantuan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan mahupun badan-badan korporat sangat memuaskan. Perancangan lain ialah program mencegah dan bantuan banjir. Progaram ini mengandungi 3 komponen utama iaitu pertama, komponen kaji cuaca yang terdiri daripada ramalan hujan dan angin kencang. Kedua, komponen haiderologi meliputi langkah struktur dan bukan sruktur. Komponen ketiga ialah program pencegahan dan persediaan menghadapi bencana iaitu bertujuan mengurangkan kesan banjir terhadap mangsa dan harta benda. Aktiviti-aktiviti utamanya ialah tugas menyelamat, penyediaan pusat-pusat pemindahan, makanan dan rawatan perubatan.

Friday, September 7, 2007

Rentetan banjir pada Disember 2006 dan Januari 2007...

Pada Disember 2006 dan Januari 2007, negara telah dikejutkan dengan kedatangan fenomena alam yang tidak diduga iaitu banjir besar yang melanda beberapa negeri di selatan Malaysia terutamanya di negeri Johor mulai 18 Disember 2006 akibat hujan lebat yang mencurah-curah. Banjir ini merupakan yang paling teruk di Malaysia pada abad ini. Banjir ini berlaku ketika negeri kelantan dan Terengganu mengalami musim tengkujuh. Johor merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir ini iaitu meliputi daerah Kota Tinggi, Batu Pahat, Johor Bharu, Kluang, Mersing, Muar dan Segamat. Jalan yang menghubungkan ke Kota Tinggi dan Segamat telah terputus terus. Seramai 90 000 orang mangsa banjir telah dipindahkan dipusat pemindahan sementara. Banjir kali kedua berlaku pada 12 Januari 2007, ketika orang ramai mula berpindah balik ke rumah selepas banjir pertama. Seramai 109 831 orang dari 24 765 keluarga telah berpindah ke 344 buah tempat pemindahan banjir yang telah dibuka semula. Banjir kali ini lebih dasyat dari bnjir pertama sehingga menyebabkan rumah-rumah kampung hanyut dan dua pusat pemindahan turut dinaiki air serta 1 793 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke tempat lain.
Oleh itu, apa yang ingin saya simpulkan di sini ialah banjir dapat diertikan sebagai keadaan di mana air menenggelami atau mengenangi sesuatu kawasan atau tempat yang luas. Ia berlaku apabila sesuatu kawasan , selalunya kawasan yang rendah ditenggelami dengan air dan banjir yang buruk biasanya akan berlaku apabila air sungai melimpah tebing sungai berkenaan. Selain daripada itu, kawasan-kawasan yang di turap dengan simen iaitu yang kekurangan tanah dan tumbuhan merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya banjir. Ini kerana, air yang tidak dapat diserap ini akan mengalir seterusnya bertakung dan menyebabkan limpahan air atau juga dikenali sebagai banjir.

Latar belakang kawasan kajian kes: Kota Tinggi, Johor

Kota Tinggi merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor. Bandar Kota Tinggi terletak di muara Sungai Johor. Keluasan daerah Kota Tinggi ialah 3488.7 kilometer persegi. Aktiviti ekonomi utama bagi daerah ini ialah perladangan seperti kelapa sawit, perlombongan dan perniagaan. Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan melayu tradisional seperti Kampung Kelantan dan Kampung Tembiuh serta kawasan rancangan tanah Felda. Kota Tinggi juga dikenali sebagai sebuah bandar sejarah kerana Kesultanan Johor diasaskan disini. terdapat banyak makam sejarah di sini termasuk Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan Makam Laksamana Bentan. Antara tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di sini ialah Air Terjun Kota Tinggi, Desaru dan Tanjung Sedili.Kota Tinggi juga bukan sahaja dikenali dikalangan penduduk tempatan malah pelancong-pelancong asing.

Wednesday, August 1, 2007

Pengenalan

Assalamualaikum...
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi melayari blog penyelidikan ini sebagai medan untuk anda berkongsi pendapat dan bertukar-tukar maklumat berkaitan dengan tajuk penyelidikan saya untuk subjek Urbanisasi dan Pembangunan Bandar iaitu impak banjir ke atas penduduk setempat. Pada minggu pengenalan bagi subjek ini, Dr. Hamzah telah memberitahu tentang tugasan berkumpulan dan individu yang perlu dilaksanakan oleh setiap pelajar yang mengikuti subjek ini. Bagi tugasan berkumpulan, saya dan rakan-rakan perlu menjalankan kerja lapangan di Kota Tinggi, Johor.Lokasi ini dipilih sebagai kawasan kajian kerana Kota Tinggi merupakan antara kawasan-kawasan di Johor yanag dilanda banjir besar tidak lama dahulu yang bukan sahaja meninggalkan kesan yang mendalam dan memberi tamparan hebat kepada penduduk setempat malah seluruh rakyat negeri Johor khasnya. Seterusnya setiap pelajar perlu mempersembahkan hasil penyelidikan ini di dalam blog sebagai tugasan individu. Walaupun penulisan blog ini merupakan sesuatu yang baru bagi saya terutamanya dalam mempersembahkan tugasan tetapi saya berharap dapat melakukan yang terbaik sepertimana yang dikehendaki oleh pensyarah. Di awal pengkuliahan juga Dr. Hamzah telah menerangkan maksud proses urbanisasi atau pembandaran secara umumnya. Proses urbanisasi membawa maksud kepada pertambahan jumlah dan peratus penduduk yang tinggal di kawasan bandar serta berlakunya perluasan saiz bandar dengan pertambahan bangunan, ruang perniagaan, kawasan petempatan, sistem dan jaringan pengangkutan dan pertambahan fugsi bandar sebagai pusat pentadbiran. Ia juga menyebabkan perubahan stuktur dan kegiatan ekonomi penduduk disesebuah kawasan iaitu dari ekonomi tradisional yang berasakan pertanian kepada ekonomi moden seperti perindustrian, perkhidmatan, perniagaan dan perdagangan. Perubahan cara hidup penduduk juga telah berubah iaitu dari bersifat tradisional kepada nilai dan gaya hidup moden yang lebih kompleks. Penerangan ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran awal kepada saya dan rakan-rakan berkaitan dengan sujek Urbanisasi dan Pembangunan Bandar ini. Sekian...