Thursday, October 25, 2007

Laporan Kajian Lapangan...

Hari pertama kajian lapangan...1 september 2007
Pada hari pertama di kawasan kerja lapangan iaitu di Bandar Kota Tinggi, tidak ada aktiviti khusus yang dilakukan. Setiap kumpulan diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti masing-masing. Hal ini supaya setiap kumpulan dapat membuat tinjauan secara rawak keadaan persekitaran kajian kes dan berbincang sesama ahli kumpulan tentang strategi untuk mendapatkan responden bagi menjawab borang soal selidik. Bagi kumpulan saya, kami menggunakan waktu malam itu sebaik mungkin untuk meninjau kehadiran pengunjung tempatan mahupun luar pada waktu malam dan suasana malam di bandar. Ini penting bagi tujuan kajian kami kerana melalui tinjauan ini kami dapat lihat sejauhmanakah bandar ini pulih sepenuhnya selepas banjir melalui kehadiran pengunjung ke bandar dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan.

Hari kedua kajian lapangan...2 september 2007
Kami memulakan kajian lapangan seawal 10 pagi. Setiap kumpulan dipecahkan mengikut destinasi kajian kes masing-masing. Kumpulan saya melakukan survei di bandar iaitu untuk melihat persepsi pengunjung terhadap pemulihan dan pembangunan bandar selepas banjir. Setiap seorang daripada kumpulan saya perlu mencari sekurang-kurangnya lapan orang responden. Kami menetapkan jumlah ini supaya memudahkan kami untuk melakukan analisis data daripada borang soal selidik yang dilakukan. Pada hari itu kawasan yang menjadi tumpuan kami untuk mengedarkan borang soal selidik ialah di Plaza Kota dan sekitar Dataran Tun Seri Lanang. Disebabkan hari itu merupakan hari minggu, jadi mudah bagi kami untuk mendapatkan kerjasama daripada responden yang terdiri daripada pengunjung bandar yang kebanyakkannya datang bersama keluarga untuk membeli belah dan tidak kurang yang datang untuk bersiar-siar.

Hari ketiga kajian lapangan...3 september 2007
Hari terakhir kerja lapangan digunakan oleh setiap kumpulan untuk melengkapkan kajian dan bagi kumpulan yang memerlukan maklumat tambahan atau data sekunder dari jabatan-jabatan kerajaan menggunakan peluang itu untuk bertemu dengan pihak yang terlibat bagi memperolehi maklumat yang berkaitan. Kumpulan saya telah pergi ke Majlis Daerah Kota Tinggi sebagai tempat untuk memperolehi maklumat tambahan berkaitan dengan tajuk kajian kes kami. Di sana, kami mendapat kerjasama yang baik dari pihak majlis iaitu En. Kasban dan En. Taufiq Hidayat terutamanya berkaitan dengan projek-projek yang telah dan bakal dijalankan untuk membangunkan semula bandar selepas banjir serta untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke Bandar Kota Tinggi.

No comments: