Thursday, October 25, 2007

Maksud Bandar..

Bandar adalah satu ciptaan yang menunjukkan pengaruh manusia ke atas alam semulajadi. Ia merupakan tempat di mana manusia telah banyak mengubah sumber-sumber tanah, air, organisma dan udara. Bandar adalah ruang dimana manusia memulakan dan mengawal perubahan dalam habitatnya. Melalui pembandaran manusia telah membentuk satu ekosistem baru di mana interaksi antara manusia, pekerjaannya dan alam semulajadi adalah kompleks.

Maksud Pembandaran Dan Proses Pembandaran

Proses pembandaran merupakan satu subjek rumit yang saling diperbincangkan dan banyak melibatkan isu-isu pembangunan. Ia dianggap sebagai satu proses pelbagai dimensi melibatkan bukan sahaja aspek demografi, eleman fizikal dan ruang, tetapi meliputi aspek sosioekonomi, sosiobudaya dan pentadbiran.
Pembandaran juga lazimnya ditakrifkan sebagai satu proses perubahan, sama ada penduduk, petempatan, cara hidup, kegiatan ekonomi, pemikiran manusia dan lain-lain ke arah bandar. Selain itu pembandaran juga ada kalanya ditakrifkan sebagai satu proses perubahan masyarakat daripada bercorak desa yang biasanya tidak formal ke corak bandar yang lazimnya lebih formal.

Ciri-Ciri Banjir...

Ciri-ciri banjir seperti frekunsi dan magnitud berubah mengikut ruang dan masa. Sementara banjir di pantai timur yang kebanyakkan dihasilkan oleh pengaruh angin monsun lazimnya lebih besar magnitudnya, lebih panjang tempoh kejadiannya dan lebih serius kesannya, banjir di pantai barat yang kebanyakkan jenis banjir kilat lebih singkat tempoh kejadiannya tetapi lebih kerap akibat dihasilkan oleh ribut perolakkan sepanjang tahun. Ujian Chi-square menhasilkan nilai .0000 yang menunjukkan wujudnya perbezaan signifikan dalam frekuensi banjir yang dialami oleh isi-isi rumah di pantai timur dan pantai barat.
Kajian ini menunjukkan bahawa frekuensi banjir lebih tinggi di dataran banjir bandar daripada dataran banjir desa. Hal ini jelas sekali sebab kajian-kajian hidrologi telah membuktikan bahawa pekali air larian permukaan di bandar jauh lebih tinggi daripada yang terdapat di desa. Dari segi jenis banjir, wujudnya perbezaan signifikan dalam frekuensi banjir antara rumah yang dipengaruhi oleh banjir sungai, banjir pasang surut dan bamjir sungai campur pasang surut. Rumah-rumah yang dilanda banjir pasang surut mempunyai frekuensi banjir paling tinggi, iaitu sekurang-kurangnya dua kali sebulan pada tempoh ulang 14 hari. Sebaliknya, rumah di bahagian tengah sungai dilanda banjir sungai dalam kadar kurang daripada sekali dalam tiga tahun. Rumah-rumah yang terletak di hilir sungai dipengaruhi oleh banjir sungai campur pasang surut.

Penemuan Kajian...

Hasil daripada maklum balas yang diterima daripada responden melalui borang soal selidik yang diedarkan kepada 30 orang, kesemuanya bersetuju dengan tindakan tindakan kerajaan negeri mendalamkan Sungai Johor untuk mengatasi masalah banjir. Hal ini kerana kedalaman sungai dapat menjamin pengaliran air yang baik terutamanya apabila hujan lebat. Aliran air yang baik ini penting untuk mengelakkan limpahan air atau banjir ke kawasan sekitar. Menurut data sekunder yang kami perolehi daripada penolong pegawai Daerah Kota Tinggi, Tuan Haji Zainuddin, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk kerja-kerja mendalamkan Sungai Johor sepanjang 16km.

Secara keseluruhannya, majoriti responden yang kami temui berpendapat bahawa proses pemulihan banjir di bandar Kota Tinggi sangat memuaskan dan progresif. Hail ini dapat dibuktikan kerana kesemua kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan untuk orang ramai telah diselenggara dengan sempurna. Malahan kami sendiri berpendapat seolah-olah Bandar Kota Tinggi tidak pernah dilanda banjir. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas terutamanya dalam aspek pentadbiran dan ekonomi. Terdapat banyak projek-projek yang telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh karajaan negeri negeri untuk membangunkan lagi bandar Kota Tinggi. Antaranya ialah menaik taraf jalan, system perparitan, gerai-gerai, dewan, dataran Kota dan pasar. Melihat kepada aspek ekonomi pula, premis perniagaan seperti kedai, gerai dan pasaraya menjalankan operasi mereka seperti sedia kala. Malah terdapat juga sebuah pasaraya baru yang dibina di bandar ini iaitu pasaraya “Family Mart”.

Selain daripada pendapat dan pandangan, kami juga telah meminta cadangan-cadangan daripada pengunjung bandar Kota Tinggi tentang bagaimana untuk meningkatkan lagi imej bandar ini. Antara cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh responden ialah memperbesar dan melebarkan jalan raya untuk melancarkan lagi perjalanan. Mereka juga meminta agar memperbanyakkan lagi tempat-tempat letak kereta untuk kemudahan pengunjung-pengunjung bukan sahaja yang datang dari luar Kota Tinggi tetapi juga pengunjung dari bandar ini senndiri. Selain itu, majlis perbandaran perlu menambah lagi kemudahan-kemudahan seperti hotel dan menaiktaraf hotel-hotel yang sedia ada. Dengan adanya hotel-hotel yang bertaraf antarabangsa pengunjung dari luar negara akan tertarik untuk datang ke Kota Tinggi. Tempat-tempat pelancongan yang ada juga hendaklah dipromosikan lagi dengan lebih luas agar orang ramai tahu tentang keistimewaannya. Malah pengunjung juga mahu Bandar Kota Tinggi dimajukan lagi dengan membangunkan semula Bandar Kota Tinggi lama dan baik pulih kedai-kedai yang sedia ada untuk merancakkan lagi proses pembangunan ekonomi di Daerah Kota Tinggi pada masa akan datang.

Analisis Data Hasil Kajian...

Isu yang dipilih oleh kumpulan kami bagi kajian lapangan ini ialah adakah imej Kota Tinggi musnah selepas banjir dan untuk menjawab persoalan ini kami mejadikan persepsi pengunjung sebagai ukuran sama ada banjir yang berlaku telah menjejaskan imej bandar. Kajian ini telah dijalankan di sekitar bandar Kota Tinggi. Seramai 30 orang responden telah disoal selidik yang terdiri daripada 15 orang lelaki dan 15 orang wanita. Majoriti responden adalah beragama Islam dan berbangsa Melayu iaitu sebanyak 93.3 %, manalala selebihnya adalah beragama Hindu dan berbangsa India iaitu 6.7%. Dapatan kajian menunjukkan imej Kota Tinggi tidak musnah walaupun fenomena banjir yang berlaku disifatkan sebagai yang terburuk di negeri Johor. Malahan masalah-masalah yang timbul disebabkan banjir seperti longkang tersumbat, jalan raya yang rosak dan sistem komunikasi telah pulih dan diselenggarakan sepenuhnya dengan baik. Kami telah mengkategorikan pembangunan kepada lima bahagian iaitu jaringan komunikasi, premis perniagaan, infrastruktur sosial, perkhidmatan dan pusat pelancongan untuk melihat proses pembangunannya selepas banjir.

Kategori yang pertama ialah jaringan komunikasi yang terdiri daripada jalan raya, lebuh raya, telefon dan pengangkutan awam seperti teksi dan bas. Hasil daripada kajian yang telah dilakukan, kami dapati bahawa seramai lapan orang (26.7%) mengatakan proses pemulihan bagi jalan raya sangat memuaskan. Manakala, selebihnya mengatakan memuaskan iaitu seramai 22 orang (73.3%). Bagi lebuh raya, 12 orang (40%) mengatakan sangat memuaskan dan 18 orang (60%) mengatakan memuaskan dengan jaringan lebuh raya yang ada. Telefon pula seramai empat orang (13.3%) berpendapat sangat memuaskan, 17 orang (56.7%) memuaskan dan Sembilan orang (30%) tidak pasti. Pengangkutan seperti teksi dan bas awam memperolehi peratusan sebanyak 20% (6 orang) yang mengatakan sangat memuaskan dan 80% (24 orang) mengatakan memuaskan.

Kategori yang kedua ialah premis perniagaan yang terdiri daripada kedai, gerai, plaza dan lain-lain. Bagi kedai seramai 15 orang responden (50%) mengatakan kedai yang ada di bandar ini sangat memuaskan manakala 15 orang lagi (50%) mengatakan memuaskan. Premis perniagaan seperti gerai pula mencatatkan seramai 17 responden (56.7%) sangat memuaskan manakala 13 responden lagi (43.3%) memuaskan. Seramai 13 orang (43.3%) berpendapat sangat memuaskan dan 17 orang lagi (56.7%) memuaskan untuk plaza. Lain-lain mencatatkan 14 orang (46.7%) mengatakan sangat memuaskan dan selebihnya 16 orang (53.3%) mengatakan memuaskan.

Bagi kategori yang ketiga pula ialah infrastruktur sosial iaitu tandas awam, telefon awam, stesen bas, taman permainan, tempat-tempat ibadat dan dewan orang ramai. Tandas awam sebanyak 15 orang responden (50%) berpendapat kemudahan yang ditawarkan sangat memuaskan, manakala 10 orang (33.3%) memuaskan dan selebihnya lima orang (16.7%) berpendapat tidak pasti. Telefon awam kami memperolehi seramai lima orang (16.7%) mengatakan sangat memuaskan, 15 orang (50%) memuaskan dan 10 orang (33.3%) tidak pasti. Infrastruktur sosial seperti taman permainan mencatatkan 17 orang responden (56.7%) mengatakan taman-taman permainan yang ada di bandar ini sangat memuaskan, lapan orang (26.7%) mangatakan memuaskan dan lima orang (16.7%) tidak pasti. Seramai 20 orang (66.7%) berpendapat tempat-tempat ibadat yang terdapat di Kota Tinggi sangat memuaskan dan selebihnya, 10 orang ( 33.3%) berpendapat memuaskan. Dewan orang ramai mencatatkan seorang sahaja responden (3.3%) mengatakan sangat memuaskan, lima orang (16.7%) memuaskan dan 24 orang responden (80%) mengatakan tidak pasti.

Kategori keempat ialah perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan di bandar Kota Tinggi seperti bank, badan-badan kerajaan, sekolah/asrama, pusat pengajian/tuisyen, klinik swasta dan hospital. Bagi bank kami memperolehi seramai 15 orang responden (50%) berpendapat perkhidmatan bank sangat memuaskan, manakala yang selebihnya seramai 15 orang juga (50%) berpendapat memuaskan. Perkhidmatan badan-badan kerajaan, sebanyak 20 orang (66.7%) mengatakan sangat memuaskan dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan 10 orang (33.3%) pula mengatakan hanya memuaskan. Sekolah/asrama mencatatkan seramai 28 orang responden (93.3%) bersetuju sangat memuaskan dan hanya dua orang (6.7%) mengatakan memuaskan. Pusat pengajian/tuisyen pula sebanyak 50% (15 orang) berpendapat perkhidmatan yang ada sangat memuaskan, 16.7% (5 orang) memuaskan dan 10 orang (33.3%) tidak pasti. Klinik swasta dan hospital pula masing-masing mencatatkan seramai 20 orang (66.7%) sangat memuaskan dan 10 orang (33.3%) memuaskan untuk klinik swasta, manakala hospital, 15 orang responden (50%) mengatakan sangat memuaskan dan selebihnya juga 15 orang (50%) memuaskan.

Kategori terakhir iaitu yang kelima ialah pusat pelancongan yang terdiri daripada hotel dan pusat beli-belah. Bagi kategori ini kami memperolehi respon yang kurang memberangsangkan daripada pengunjung di mana majoriti daripada mereka mengatakan hotel-hotel yang ada tidak menepati citarasa mereka. Seramai 15 orang responden (50%) mengatakan tidak pasti, 10 orang (33.3%) tidak memuaskan dan lima orang (16.7%) sangat tidak memuaskan untuk hotel. Bagi pusat beli-belah pula sebanyak 50% (15 oramg) berpendapat pusat beli-belah yang ada di bandar Kota Tinggi sangat memuaskan dan 15 orang lagi (50%) mengatakan memuaskan.
1. Jaringan Komunikasi

Laporan Kajian Lapangan...

Hari pertama kajian lapangan...1 september 2007
Pada hari pertama di kawasan kerja lapangan iaitu di Bandar Kota Tinggi, tidak ada aktiviti khusus yang dilakukan. Setiap kumpulan diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti masing-masing. Hal ini supaya setiap kumpulan dapat membuat tinjauan secara rawak keadaan persekitaran kajian kes dan berbincang sesama ahli kumpulan tentang strategi untuk mendapatkan responden bagi menjawab borang soal selidik. Bagi kumpulan saya, kami menggunakan waktu malam itu sebaik mungkin untuk meninjau kehadiran pengunjung tempatan mahupun luar pada waktu malam dan suasana malam di bandar. Ini penting bagi tujuan kajian kami kerana melalui tinjauan ini kami dapat lihat sejauhmanakah bandar ini pulih sepenuhnya selepas banjir melalui kehadiran pengunjung ke bandar dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan.

Hari kedua kajian lapangan...2 september 2007
Kami memulakan kajian lapangan seawal 10 pagi. Setiap kumpulan dipecahkan mengikut destinasi kajian kes masing-masing. Kumpulan saya melakukan survei di bandar iaitu untuk melihat persepsi pengunjung terhadap pemulihan dan pembangunan bandar selepas banjir. Setiap seorang daripada kumpulan saya perlu mencari sekurang-kurangnya lapan orang responden. Kami menetapkan jumlah ini supaya memudahkan kami untuk melakukan analisis data daripada borang soal selidik yang dilakukan. Pada hari itu kawasan yang menjadi tumpuan kami untuk mengedarkan borang soal selidik ialah di Plaza Kota dan sekitar Dataran Tun Seri Lanang. Disebabkan hari itu merupakan hari minggu, jadi mudah bagi kami untuk mendapatkan kerjasama daripada responden yang terdiri daripada pengunjung bandar yang kebanyakkannya datang bersama keluarga untuk membeli belah dan tidak kurang yang datang untuk bersiar-siar.

Hari ketiga kajian lapangan...3 september 2007
Hari terakhir kerja lapangan digunakan oleh setiap kumpulan untuk melengkapkan kajian dan bagi kumpulan yang memerlukan maklumat tambahan atau data sekunder dari jabatan-jabatan kerajaan menggunakan peluang itu untuk bertemu dengan pihak yang terlibat bagi memperolehi maklumat yang berkaitan. Kumpulan saya telah pergi ke Majlis Daerah Kota Tinggi sebagai tempat untuk memperolehi maklumat tambahan berkaitan dengan tajuk kajian kes kami. Di sana, kami mendapat kerjasama yang baik dari pihak majlis iaitu En. Kasban dan En. Taufiq Hidayat terutamanya berkaitan dengan projek-projek yang telah dan bakal dijalankan untuk membangunkan semula bandar selepas banjir serta untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke Bandar Kota Tinggi.

Persedian sebelum melakukan kerja lapangan...

Seminggu sebelum menjalankan kerja lapangan di Kota Tinggi, setiap kumpulan perlu menyiapkan kertas kerja iaitu meliputi tajuk kajian kes, persoalan kajian, objektif, methodologi kajian dan soalan-soalan soal selidik atau temubual yang ingin diajukan kepada responden. Tujuan penyediaan kertas kerja ini adalah untuk memastikan setiap kumpulan telah bersedia dengan skop kajian masing-masing. Hal ini penting supaya ketika melakukan kajian lapangan setiap kumpulan telah mempunyai sasaran responden mengikut kajian kes yang dilakukan. Tajuk kajian kes kumpulan saya ialah persepsi pengunjung bandar Kota Tinggi terhadap kesan banjir ke atas pembangunan bandar. Persoalan kepada kajian kami ialah untuk melihat sama ada imej Kota Tinggi musnah selepas banjir. Jadi untuk menjawab kepada persoalan ini, kami menggunakan pengunjung bandar sebagai subjek utama untuk mengetahui sejauhmanakah banjir telah menjejaskan imej Kota Tinggi. Jadi, untuk menyiapkan kertas kerja ini kumpulan saya telah mengadakan dua kali perjumpaan untuk menetapkan tajuk kajian dan menyediakan soalan soal selidik. Kerjasama yang telah diberikan oleh setiap ahli kumpulan telah memudahkan kami menyiapkan kertas kerja ini seperti yang ditetapkan oleh pensyarah.